PENDAHULUAN
Keracunan makanan memberikan gejala-gejala tertentu kepada penghidapnya hasil dari tindakbalas makanan beracun di dalam perut.
•Begitulah juga nisbahnya kepada mereka yang terkena racun fikirannya, meninggalkan gejala-gejala tertentu kepada pengidapnya hasil adunan racun-racun pemikiran yang terlonggok di dalam akal fikiran seseorang.
•Keracunan fikiran ini lebih berbahaya dari keracunan makanan kerana bila akal fikiran manusia diracuni, seluruh kegiatan hidup manusia tidak akan betul lantaran kewarasan fikiran adalah pra syarat baiknya amalan seseorang itu.
•Kaum muslimin yang benar memiliki pemikiran dan akidah yang kukuh lagi sempurna kerana ianya diasaskan di atas pertunjuk wahyu Ilahi. Pemikiran dan pegangan yang kukuh ini dapat menjadi penyelesaian kepada berbagai masalah kehidupan kerana ia memiliki kekuatan dalaman lagi bersifat kerohanian.
•Seorang Muslim beriman dengan asas-asas kerohanian untuk menyelesaikan masalah hidup. Inilah yang dinamakan sebagai akidah yang benar dan sanggup bersedia untuk mengorbankan jiwa raganya di atas jalan menegakkan akidah keimanan.
•Demikian corak pemikiran yang wujud dalam generasi umat Islam yang beriman di sepanjang zaman. Malangnya bilamana minda mereka telah dicemari oleh 'racun-racun' Yahudi dan Nasrani; pemikiran beracun ini telah meninggalkan kesan yang mendalam ke atas umat Islam.
•Benarlah ungkapan al-Syahid Murtada al-Muttahari yang memetik ungkapan Muhammad Iqbal al-Lahori sebagai berkata:
•"Sebenarnya syiar peradaban moden menjadi fitnah dan godaan kepada kehidupan bani Adam. Ia bukan sesuatu yang terlalu agung, tetapi sebenarnya ia lahir dari benih-benih Yahudi pintar dengan memerangi cahaya kebenaran yang cuba menembusi dada bani Adam.
•Walaupun cahaya peradaban hasil pemikiran barat itu bersinar cemerlang, namun tidak sama dan jauh berbeza dari pembawaan para Nabi dan pertunjuk Ilahi. Meskipun kelihatannya ilmu pengetahuan berkembang dan kilang-kilang maju di Eropah, namun kegelapan memenuhi kehidupan mereka.
•Ilmu pengetahuan, hikmah, politik dan pemerintahan yang berjalan di Eropah tidak lain dari ketandusan dan kekosongan. Perkembangan itu mengorbankan darah rakyat dan jauh sekali dari mengenal erti persamaan, kemanusiaan dan keadilan masyarakat.
•Apa yang ada ialah kemungkaran, minum arak dan kemiskinan di sana sini. Inilah akibat yang menimpa umat manusia yang tidak tunduk kepada undang-undang samawi ciptaan Ilahi.
•Inilah bandar-bandar yang hanya berbangga dengan cahaya elektrik dan teknologi moden.
•Inilah corak bandar-bandar yang dikuasai oleh alat-alat dan industri yang telah memusnahkan hati-hati manusia dan membunuh erti kasih sayang, kesetiaan dan makna kemanusiaan yang mulia".
•Generasi yang hidup membesar dalam suasana pendidikan ini tiada mengenal sama sekali erti penghormatan kepada perasaan sesama insan dan bahkan telah mengucapkan 'sayonara' kepada mereka.
• Mereka hidup dalam suasana mengutamakan kepentingan serta kehendak sendiri dan semacam memaksa orang lain mengikut kehendak cita-rasa mereka, sedang mereka benar-benar mengetahui bahawa setiap manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza dalam kehendak dan fizikal.
•Generasi yang terbudaya dalam hidupnya dengan konsep pemikiran yang asing dari Islam itu pastinya bertindak mempraktikkan konsep pemaksaan, perhambaan dan penindasan kepada kemanusiaan.
•Hidup manusia yang dimerdekakan dan berkehendak bebas sebagai hamba Allah telah terpaksa tunduk kepada kehendak sesama manusia yang terang nyata bertentangan dengan prinsip kemanusiaan sejagat yang ditetapkan Ilahi.
•Sesungguhnya pemikiran yang benar menurut Islam bertolak dari syariat Allah sebagai kebenaran yang mutlak, dengannya diaturkan manusia dengan hukum-hakam-Nya dalam hubungan yang bersifat umum dan juga khusus samada dalam kehidupan peribadi maupun dengan manusia yang lain.
•Kebenaran peraturan itulah yang meresap kefahaman dalam pemikiran seseorang untuk nantinya berpindah kepada nilaian bersifat kerohanian atau akhlak yang diamalkan.
•Ini adalah kerana Dialah yang mencipta manusia, Dialah yang memilikinya sedang manusia itu tidak memiliki dirinya sendiri.
• Dialah yang mengetahui apa yang membawa kebaikan kepada manusia dan kerosakan kepada manusia melebihi dari apa yang diketahui oleh manusia terhadap dirinya sendiri dan Dialah juga yang mengetahui peranan yang manusia itu wajib tegakkan atau yang wajib manusia itu hindari darinya.
MERACUNI PEMIKIRAN KAEDAH DAN STRATEGI
•Bagi memahami bagaimana kaedah dan strategi yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam dalam merobah minda umat Islam, marilah kita perhatikan kepada tamsilan yang diberikan oleh Prof. Dr. Abdul Rahman Habannakah al-Maydani [dengan sedikit ubah-suai] seperti berikut:
•"Seekor serangga parasit telah hinggap pada sebatang pokok yang sedang berkembang bunganya. Setelah agak lama beristirehat di situ serangga tersebut terbang pergi. Pemilik kebun tersebut tidak mensyakki apa-apa berlaku kepada pokok buah-buahan yang ditanamnya.
•Apabila bunga tadi telah bertukar menjadi buah, kelihatanlah kesegarannya. Dan alangkah gembiranya si Pemilik kebun itu melihat hasil tanamannya yang subur.
•Tiba waktu memetiknya, buah-buah tadi dikumpulkan di dalam sebuah bekas, lalu datanglah penilai mutu yang berpengalaman bagi menilai mutu atau gred buah-buahan tadi. Beliau mengeleng-gelengkan kepalanya dengan penuh tanda kesal. Di tanya oleh pemilik kebun itu mengapa?.
•"Usaha kamu selama ini sia-sia". Ujarnya pendek. "Kemari! dan lihatlah", sambil mengupas buah tersebut, di dapati di dalamnya kosong dan dipenuhi ulat-ulat. Buah yang kulit luarnya begitu elok sebenarnya menjadi sarang berpestanya ulat-ulat!
•Berfikirlah si Petani itu, bilakah pohon tanamannya diserang ulat. Lalu fikirannya tersangkut kepada peristiwa satu ketika dahulu pernah serangga parasit singgah di kebunnya, walaupun sebentar dan ia sendiri lalai mengawasinya.
•Serangga itu pergi tetapi telah meninggalkan telur-telurnya pada bunga yang sedang kembang itu, sehingga akhirnya bertukar menjadi larva dan hidup membesar bersama di dalam buah tersebut.
•Buahnya yang segar, tumbuh dengan lebat, tetapi pemiliknya lalai, tidak mengawasi dan memeliharanya dengan baik, sehingga kedatangan ulat tanpa pengetahuannya. Ulat tersebut bersembunyi di bahagian dalam, tidak ada yang mengetahuinya.
•Ulat-ulat tersebut beraksi di tempat yang terlindung dari Matahari.
•Digerogotinya terus buah itu untuk membuat jalan bagi dirinya, sambil memakan buah tadi sambil merayap masuk hingga sampai ke inti buah.
•Ia menuju pada sasaran dan didapatkannya makanan yang lazat lalu dimakannya apa yang ada disekelilingnya, hingga habislah inti buah tadi, tinggallah kulitnya yang telah layu dan lantas gugurlah ia ke bumi.
•Sebahagian umat Islam sedang mengalami proses 'pengulatan' serangan kuffar perosak ini, lantas mereka mengalami sepertimana yang terjadi pada buah tadi; di makan ulat hingga tinggal kulitnya, sehingga orang-orang yang mengupasnya akan mendapati bahagian dalamnya kosong tidak ada sesuatu yang dapat dimakan kerana sudah dimakan ulat.
•Bahkan ulat itu membuang kekotoran najisnya di dalam buah itu lalu menghasilkan toksid beracun hingga merosakkannya sekaligus."
•Kedatangan penjajah yang suatu ketika dahulu pernah singgah di negara-negara umat Islam. Mereka tidak tinggal selamanya di negara-negara tersebut malahan sebentar sahaja, kemudian mereka kembali ke negaranya.
•Interaksi mereka dalam masyarakat Islam itu telah menelurkan larva-larva pemikiran yang hidup dalam masyarakat umat Islam, yang mana larva-larva ini telah menjadi ulat yang hidup dalam masyarakat Islam sehingga menjadi sebahagian daripadanya, sepertimana sebahagian daripada buah.
•Bila ulat-ulat ini meninggalkan kekotorannya di dalam 'kepala' umat Islam, ulat-ulat ini telah meratah zat-zat akidah, syariat dan akhlak Islam lalu memprosesnya menjadi kekotoran najis. Akibatnya tumbuh dan membesarlah segala itu dalam suasana bercampur baur dengan kekotoran tersebut.
•Tegasnya kedudukan umat Islam sebagai buah pada perkebunan yang subur, manakala serangga parasit yang pernah singgah padanya adalah para penjajah. Ulat-ulat perosak itu pula adalah ibarat dari peninggalan fikiran penjajah yang bersarang di dalam buah fikiran umat Islam sehingga ia mengosongkan intipati pemikiran Islam yang sebenar berteraskan akidah keimanan, yang ada hanyalah kekotorannya sahaja. Kekotoran tidak akan menghasilkan apa-apa kecuali kekotoran jua.
•Sebahagian besar masyarakat umat Islam sedang dan telah menghadapi proses ini, mereka menjadi seperti buah-buahan tadi, dimakan ulat hingga tinggal kulitnya.
•Mereka yang benar-benar memahami tabiat agama ini dan menganalisisnya akan mendapati bahagian dalamnya kosong tidak ada sesuatu yang dapat di makan kerana sudah di gerogoti ulat.
•Sebaliknya ia tidak disedari oleh mereka yang jahil terhadap agama ini. Tiada tinggal pada masyarakat Islam kecuali fahaman ketaksuban pada nama sahaja.
•Apalah ertinya sebuah nama jika isinya tidak sesuai dengan nama tersebut?.
•Kalau kita mengambil sepotong tembikar kemudian kita sepuh bahagian luarnya dengan warna emas dan kita sebut sebagai emas, dapatkah warna dan sebutan itu menjadikan tembikar tersebut sepotongan emas yang sesungguhnya?
•Alangkah banyaknya kaum muslimin yang tidak memiliki Islam kecuali labelnya sahaja, dan tidak beragama kecuali statusnya sahaja.
•Mereka memiliki darjat serendah ini lantaran sikap sambil lewa dan hasil terminumnya racun pemikiran musuh-musuh mereka, musuh agama mereka, musuh sejarah dan kehormatan harga diri mereka.
•Musuh-musuh mereka yang telah bekerja terus menerus untuk merobohkan sendi-sendi akidah Islam pada hati dan pemikiran kaum muslimin, sehingga tidak ada lagi penggerak serta ghirah.
•Hilang unsur yang mampu mengembalikan mereka kepada kejayaan Islam kerana mereka sesungguhnya telah berpaling dan tidak lagi mempraktikkan ajaran Islam.
CIRI-CIRI PEMIKIRAN BERACUN
1. Fikrah Madiyyah
•Dalam pemikiran Islam, aspek kebendaan dialatkan sebagai wasilah mencari keredaan Allah; sebagai jambatan yang disediakan untuk menuju akhirat.
•Ertinya pengurusan kebendaan hendaklah selaras dengan tujuan yang Allah telah tetapkan untuknya.
•Pemikiran barat yang kosong dari nilai kerohanian telah mengubah corak pemikiran ini dengan mematlamatkan kebendaan melalui sistem pendidikan yang ditaja oleh mereka di negeri-negeri umat Islam.
•Akhirnya wujudlah suatu corak fahaman yang disebut sebagai madiyyah [materialism].
•Konsep bendaisme ini menjalar bukan sahaja dalam soal-soal kehidupan fizikal malahan membawa kepada penolakan kepada soal-soal ghaib.
•Sesuatu itu tidak diterima kecuali dapat dicerapi oleh pancaindera, lantas kerana itu soal-soal keghaiban seperti Tuhan, dosa, pahala, barakah, rahmat serta seumpamanya tidak begitu bertapak dalam pemikiran mereka.
•Kalaupun ada hanya sekadar sambil lewa sahaja. Hakikat ini amat bertentangan dengan corak pemikiran yang dikemukakan oleh al-Quran dan Sunnah.
•Pemikiran kebendaan ialah menumpukan usaha untuk memenuhi keinginan diri atau tuntutan "aku" yang berligar di sekitar kenikmatan nafsu syahwat haiwani, kenikmatan pangkat, kedudukan, status dan kuasa.
•Ia adalah keinginan-keinginan yang tidak menjurus kepada usaha-usaha yang mendatangkan kebaikan dan kebajikan kepada orang lain.
•Pemikiran kebendaan ialah pandangan di sekitar kepentingan diri dan menganggap nilai kepentingan diri sebagai satu-satunya nilai-nilai tertinggi yang wajar diperjuangkan oleh manusia dalam seluruh kegiatan hidupnya.
•Pemikiran ini menolak semua nilai lain yang disifatkan sebagai nilai hidup yang tinggi seperti tolong menolong [al-ta`awun], kesetiaan pada waktu senang dan susah, mengasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri.
•Nilai-nilai ini dianggap sebagai khayal yang tidak sesuai dengan kenyataan. Keimanan dengan nilai-nilai ini akan mengakibatkan hancurnya kepentingan diri, kerana itu pejuang-pejuang kebendaan meletakkan iman kepada nilai hidup yang tinggi itu dalam lingkungan khayal dan menipu diri sendiri.
•Seorang 'bendawan' ialah mereka yang mengukur seluruh usaha dan kegiatan hidupnya ke arah mencari dan membenamkan dirinya dalam kenikmatan kebendaan yang tidak terbatas.
•"Orang-orang yang tidak beriman, mereka makan dan berseronok-seronok sepertimana binatang ternakan. Tempat mereka adalah neraka". [Muhammad 47: 12].
•Mereka memilih kenikmatan hidup sebagai satu-satunya matlamat kehidupan dunia mereka dan dengan rakusnya mereka memuaskan nafsu makan minum sama seperti binatang. Mereka merasakan dengan tercapainya tahap terebut sudah tercapailah kemuncak hidup mereka di dunia ini. Tidak lebih daripada itu.
•Mereka ini menghalangi perkembangan agama Allah dengan kekufuran dan kedegilan mereka. Mereka berusaha untuk menghapus dan memberi gambaran buruk kepada Islam
•"Kecelakaan yang besar kepada orang-orang kafir yang akan menerima siksaan yang besar, iaitu orang-orang yang memilih kehidupan dunia dari akhirat, dan menghalang orang lain dari jalan Allah serta berhasrat untuk memesungkan jalan Allah. Mereka berada dalam kesesatan yang jauh". [Ibrahim 14: 2-3].
•Ciri peribadi mereka tidak sekali-kali disembunyikan oleh wahyu. Bahkan didedahkan dengan sikap mereka yang menentang dan memusuhi kerohanian.
•Mereka terkenal dengan kebencian mendengar ajaran serta hukum-hukum yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah [seperti hudud, qisas serta takzir].
•Mereka menghendaki supaya hukum syariat al-Quran tidak dilaksanakan dan kalau boleh biarlah ia dilupakan orang sama sekali.
•"Apabila disebut nama Allah sahaja [di dalam doa dan sebagainya], jijiklah hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut yang lain daripada-Nya, mereka dengan serta merta riang gembira". [al-Zumar 39: 45].
•Mereka ini tidak lebih dari para penganjur kerosakan, lantaran titah perintah Allah seluruhnya membawa kepada kebaikan sedang berpaling daripada-Nya mengundang kerosakan.
•Pemikiran madiyyah hanya menghargai dan menilai aspek-aspek benda sahaja dalam kehidupan manusia, maka pemikiran sebegini hanya menghitung sesuatu yang diketahui wujud ialah yang berupa benda yang dapat dirasa, diuji dan dicerapi ciri-cirinya.
•Adapun janji-janji yang Allah sebutkan dalam al-Quran tidak menjadi keyakinan mereka lantaran bersifat ghaib dan tidak boleh terbukti kebenarannya.
•Pemikiran kebendaan pada hakikatnya mengingkari wujud Allah [walaupun pada dasarnya tawhid Rububiyyah diakui oleh mereka] kerana tidak dapat dicerapi oleh pancaindera.
•Oleh kerana agama memperkatakan tentang Allah, sedang Allah tidak dapat dicerapi pancaindera, dan memperkatakan tentang ciri-ciri jiwa, roh atau akal, sedang ciri-ciri ini tidak kelihatan, maka pemikiran kebendaan menolak agama dan mensifatkannya sebagai kepercayaan tahyul, ketinggalan zaman, tipuan dan tidak berpijak di alam nyata.
•Bagaimanapun pada masa yang sama bagi mengabui mata umat Islam mereka beraksi sebagai orang yang percayakan Tuhan dengan mempamerkan amalan-amalan keagamaan.
•Dari pemikiran kebendaan inilah lahirnya teori sosial, iaitu pemikiran kebendaan dalam menafsirkan sejarah, satu teori yang mengangkat ekonomi sebagai satu-satunya faktor asasi dalam kehidupan manusia.
•Mereka memandang harta sebagai satu faktor yang unggul dalam menentukan bentuk pemikiran manusia dan masyarakat. Atas dasar inilah pemburuan kepada sumber kekayaan dunia menjadi matlamat utama tanpa mengambil kira halal maupun haram.
•Orang yang beriman kepada kebendaan dan faedah-faedah benda sahaja tidak akan beriman kepada nilai kemanusiaan yang luhur; nilai persaudaraan, nilai kerjasama, kebaktian dan saling memahami perasaan orang lain lagi bertimbang-rasa dalam semua perkara.
•Mereka hanya beriman kepada kekayaan dan pertentangan dalam masyarakat bagi merebut kemewahan dan menimbun kekayaan semata.
•Mereka adalah manusia tamak, haloba, pementing diri sendiri. Ia akan menjadi konco-konco hipokrit, oporcunis dan kelompok musyrikin. Ia bekerja untuk faedah kebendaan atau kerana takutkan ancaman kebendaan.
•Ia tidak akan bekerja lebih atau dengan baik tanpa dorongan faedah benda. Ia akan malas bila ditarik faedah kebendaan itu dan akan terus cuai bila tidak dikawal ketat; akan mengabaikan tanggungjawab sebaik sahaja kawalan rapi kerja mereka tidak dilaksanakan dengan tegas.
•Manusia kebendaan tidak mengenal adanya sesuatu batas yang tidak boleh dilampauinya dalam memenuhi kehendak-kehendak nafsunya. Ia tidak berpada dengan tercapainya sesuatu hajatnya, malah ia sentiasa menuntut yang lebih lagi. Ia sama sahaja seperti anjing yang tidak pernah puas dan tidak pernah tenang di sepanjang hidupnya
•"Dan bacakanlah kepada mereka [wahai Muhammad], khabar seorang yang Kami berikan kepadanya [pengetahuan mengenai] ayat-ayat [Kitab] Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikut oleh syaitan, maka menjadilah ia dari kalangan orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan [sebab mengamalkan] ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir". [al-A`raf/7: 175-176].
2. Takut Kepada Islam
•Islam adalah cara hidup keselamatan yang datangnya dari Pencipta alam dan manusia seluruhnya. Dia Maha Tahu apa yang terbaik dan paling baik untuk manusia ciptaan-Nya. Lojiknya bila manusia itu menyedari hakikat ini tentulah ia akan berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua bentuknya untuk merealisasikan Islam ini kerana yakin dengan apa yang Allah nyatakan.
•Malangnya kini terdapat segolongan orang yang bernama Islam takut kepada Islam. Dalam apa jua tindakan dan usaha mereka segalanya terarah kepada menafi, menolak dan menidakkan aspek-aspek keislaman dari dijadikan satu sistem dalam kehidupan.
•Memang anih, jiwa mereka ini begitu bosan bila disebut hukum-hukum Allah, peraturan Allah dan perundangan Islam atau pun negara Islam, tegasnya apa jua daripada aspek-aspek keislaman, timbul ketidak-senangan pada jiwa mereka. Mereka begitu irihati bila melihat benih-benih pemikiran Islam tumbuh di hati kaum Muslimin.
•Mereka amat benci kepada Muslim yang iltizam [komited] atau yang cuba kembali kepada ajaran Allah sebenar.
•Pada masa yang sama pula mereka begitu gigih memperjuangkan dan melaungkan slogan kebangsaan Arab, wataniyyah Arab dan seumpamanya [semuanya itu sebenarnya bukan di atas dasar Islam meskipun mereka mendakwanya sebagai Islam].
•Golongan ini begitu senang mengesan dan mengintip para pendakwah Islam yang ingin menegakkan Islam.
•Golongan ini juga sentiasa mengekori para ulama yang benar, mengawasi pergerakan mereka dan memasukkan mereka ke dalam penjara atas tuduhan [sebenarnya fitnah] perpecahan umat, ajaran sesat, fanatik dan sebagainya lagi dari rekaan palsu yang mereka sengaja ada-adakan.
•Para ulama yang sebenar ialah mereka yang memiliki keikhlasan hati; menghendaki agar umat manusia menjadi orang yang baik, berkasih sayang sesama manusia dan menghormati hak-hak asasinya.
•Tegasnya adalah menjadi sifat ulama yang benar lagi dimanfaatkan Allah ilmunya itu ialah mereka yang menyuarakan apa yang diketahuinya dari ilmu agama tanpa merasa gerun takut kepada sesiapa pun.
•Anihnya golongan yang takut kepada Islam ini begitu beriya-iya menjaja pemikiran import dan ideologi kuffar.
•Mereka mahu menyalakan keburukan dalam masyarakat dengan sampah-sampah pemikiran kotor manusia dan berselindung di belakang tabir kepura-puraan sambil menggemakan laungan slogan keamanan, pembaikan dan islah.
•Pemikiran yang bertoksid ini takut kepada Islam, tetapi pada masa yang sama memakai nama-nama Islam. Pertanyaan yang timbul di benak kita kini ialah mengapa mereka takut kepada Islam dan bersikap memusuhi Islam?.
•Inilah realiti pemikiran beracun yang sentiasa merasa takut dengan Islam. Islam sentiasa menghantui dirinya. Alangkah sempitnya bila seseorang itu berpaling dari ajaran Islam. Benarlah Allah menyebut:
•"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan pertunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan yang buta". [Taha 20: 124].
•Sesungguhnya inilah warisan pemikiran beracun musyrikin yang bila mendengar sesuatu yang bersifat Islam mereka akan merasa meluat, muak dan seakan-akan muntah. Mereka sekali-kali tidak berselera dengan Islam malah ghairah dengan sesuatu yang tidak Islam!.
3. Cemuhan Terhadap Islam
•Sifat ini merupakan lanjutan dari fikrah madiyyah dan perasaan takut serta benci kepada Islam seperti yang telah dijelaskan sebelumnya. Hasil dari perasaan benci, takut dan bimbang dengan Islam akibat fikiran mereka diracuni oleh musuh-musuh Islam lahirlah dari tindakannya mencemuh Islam. Alangkah sukarnya para ilmuan yang benar ingin membersihkan imej ini dari berterusan
•Ia samalah seperti seseorang yang pada zaman kanak-kanaknya dimomokkan oleh ibu bapanya dan teman-temannya bahawa polis itu kerjanya menangkap orang dan menyaman serta memasukkan orang ke dalam penjara.
• Akibat dari momokan itu jiwa si anak tersebut membesar dan memberikan satu tanggapan yang serong terhadap polis. Justeru apabila melihat sahaja polis ia akan mencela, memaki hamun dan sebagainya dari cemuhan. Sedang hakikatnya tidak demikian.
•Alangkah sukarnya mengikis pemikiran ini sehingga kempen-kempen seperti 'rakan polis', 'sedia berkhidmat' dan sebagainya terpaksa dilancarkan.
•Begitulah juga umat Islam yang fikirannya diracuni oleh para syaitan manusia ini sehingga mereka mencemuh Islam yang suci murni.
•Tamsilan yang dibuat oleh Anwar al-Jundi dalam aspek ini begitu menarik untuk dijadikan perbincangan. Beliau menulis:
•"Para mujadid [pembaharu] kerap kali menyuarakan berkenaan pembunuhan-pembunuhan yang dilakukan ke atas umat Islam dan telah memberikan perhatian serius kepada perkara itu, tetapi amat jarang benar mereka memberi perhatian kepada senjata yang digunakan untuk pembunuhan itu,
•padahal adalah lebih wajar bagi mereka berusaha mencabutnya terlebih dahulu daripada tubuh orang Islam, sebelum mengubati tempat yang berlumuran darah, kerana tanpa berbuat demikian maka segala usaha untuk memperbaiki, memperbetulkan keadaan atau mengubati penyakit tidak akan berhasil, di samping itu darah tetap akan mengalir.
•Tiap sesuatu pekerjaan hendaklah bertolak dari titik permulaannya. Di sinilah terbenamnya keris, mengikut hemat dan keyakinan saya, juga kebanyakan mereka yang mengkaji tentang gerakan pembaratan dan penjajahan fikiran [al-ghazwu al-fikri] bahawa pendidikan, kebudayaan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya adalah merupakan keris beracun yang terbenam di dalam jasad orang Islam dan menyebabkannya sentiasa berdarah.
•Penjajah sungguh bijak bilamana mereka memulakan gerakan memerangi orang Islam dan Arab di sekolah-sekolah melalui kurikulum, missionary dan juga penguasaan kepada alat-alat pembelajaran...".
•Ini jelas dilakukan di India sepertimana yang dipetik oleh Khurshid Ahmad dalam ungkapan yang disebut oleh Lord Macaulay perancang pendidikan British di tanah jajahan:
•"We must do our best to form a class who may be interpreters between us and the million whom we govern - a class of person Indians in blood and colour, but English in taste, in opinion, in morals and in intelect".
•[Kita mesti laksanakan sebaik mungkin untuk mencorakkan satu lapisan orang yang boleh menjadi jurucakap antara kita dan ribuan orang yang kita perintah – satu lapisan masyarakat yang darah dan warna kulitnya India, tetapi bercitarasakan Inggeris dalam fahaman, moral dan pemikiran].
•Atau sepertimana kata W.W. Hunter yang telah mengkaji hasil dari perubahan sistem pendidikan yang mampu merobah pemikiran:
•"The truth is that our system of public instruction is opposed to the traditions, unsuited to the requirements and hateful of the religion of the Musalmans".
•[Nyatalah bahawa sistem kita terhadap arahan-arahan awam bertentangan dengan tradisi, tidak cocok untuk keperluan-keperluan dan membenci agama yang dianut oleh Muslim].
•Demikianlah terbinanya corak generasi hasil daripada corak pendidikan yang dicelup dengan celupan warna pemikiran Barat.
•Untuk melihat betapa tenatnya hakikat ini sekali lagi kita menjemput Anwar al-Jundi agar memberikan komentarnya:
•"Andainya terdapat di kalangan orang Islam segolongan yang mencemuh undang-undang syarak dan mengkesampingkannya daripada masyarakat, maka tindakan tersebut adalah berpunca dari keris beracun ini yang terbenam begitu mendalam di tubuh mereka. Andainya orang Islam mencemuh undang-undang syarak dan tidak mahu melaksanakannya dalam masyarakat mereka dan sebagai alternatifnya mereka menukarkannya dengan undang-undang ciptaan manusia, maka sikap tersebut adalah berpunca daripada pendidikan yang telah melahirkan generasi yang sanggup mencemuh undang-undang syarak dan beriman dengan keluhuran undang-undang Napoleon".
•Inilah bahaya yang jelas akibat daripada kesan tikaman keris beracun ke atas umat Islam dan telah menghasilkan darah beracun lalu menjalar kepada akal fikiran mereka.
•Perlu dinyatakan bahawa jiwa keislaman yang dipupuk melalui kebudayaan Islam yang bertunjangkan al-Quran dan Sunnah telah kian merosot di rumah-rumah orang Islam di seluruh negara umat Islam, dan tidak berupaya membentuk generasi baru.
•Mereka mengirim anak-anak mereka yang masih rebung dan kekosongan dalam jiwa dan fikiran mereka; di samping tidak diperkenalkan kepada mereka konsep Islam secara menyeluruh di sekolah.
•Di sana mereka terdedah kepada pendapat yang menggambarkan idea-idea barat dalam bentuk akidah, maka jiwanya mulai terpaut kepada sejarah bangsa asing dan dengan secara otomatik bahasa mereka juga diberi sanjungan.
•Mereka disogok dengan ilmu-ilmu seperti sains, ekonomi, undang-undang dan ilmu kemasyarakatan yang lahir dalam masyarakat asing, atas dasar bahawa ilmu tersebut merupakan pemikiran yang maju dalam tamadun manusia sejagat.
•Pendekatan yang diberikan terhadap ilmu tersebut menyimpang dari tasawwur alam Islami dan bersifat kebaratan yang mulhid.
•Masalah ini merupakan masalah utama yang menjadi cabaran besar kepada orang Islam di seluruh tempat waktu ini.
•Perkara ini merupakan punca kepada masalah dan krisis kerana dalam jarak masa yang panjang gerombolan Zionis, Penjajah dan Kominis berjaya melaksanakan cita-cita mereka berpeluang menerapkan ideologi [pemikiran] tersebut ke dalam fikiran dan jiwa orang Islam, serta memesongkan pandangan mereka daripada ruang lingkup pengajaran Islam yang flexible, sederhana, lengkap dalam lingkungan pemikiran barat yang tertutup lagi kejam.
KESIMPULAN
•Sesungguhnya kalangan umat Islam yang meneguk pemikiran beracun inilah yang menjadi halangan terbesar kepada umat Islam ke arah perlaksanaan cara hidup Islam dalam ertikata Islam sebagai agama dan negara atau dalam ungkapan yang lain Islam sebagai satu cara hidup yang syumul.
•Golongan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai berpengaruh dalam masyarakat.
• Mereka dengan kejahilan dan ketidak-insafan mereka telah meletakkan Islam di bawah telunjuk mereka dan sekali-kali tidak ingin mengikut arahan-arahan Islam.
•Adalah menjadi kewajipan terbesar kepada umat Islam yang sedar mempertingkatkan iltizam mereka dengan Islam bagi mengembalikan semula kemurnian pemikiran Islam agar Islam kembali berdaulat sebagai agama penyelamat manusia dunia dan akhirat.
والـســـلام عـلـيــكــم ورحــمــة اللــه وبــركــاتــة
واللــه أعــلــم بـالــصــواب
Dinukilkan oleh,
abuislam
Monday, October 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment