MAHASISWA PERINTIS KEBANGKITAN
Assalamu’alaikum w.b.t.
Sesungguhnya segala puji dan puja milik Allah s.w.t. ,Tuhan yang mengurniakan kita dengan nikmat yang paling tuntas, kita mohon kepadaNya daripada rasa kebergantungan kepada tahghut dan bermanis mukadengan jahiliah moden. Selawat dan salam buat Rasul junjungan yang telah menunjukkan kepada kita jalan jihad yang panjang ini, yang telah bermandi darah dan berkubang jerih memacu perjuangan kebangkita Islam ini menggema di seluruh belahan dunia ini.
Pembawa obor kebangkitan atau yang lebih dikenali sebagai mahasiswa merupakan satu aset yang cukup penting di dalam mencorakkan suasana kehidupan di alam kampus hari ini. Malahan mahasiswa juga merupakan pencorak kepada dasar Negara pada masa hadapan kelak. Mahasiswa juga rata-ratanya terdiri daripada golongan pemuda (syabab) yang mempunyai daya intelektual yang tinggi, pandangan yang bernas, dan tingkah laku yang boleh dicontohi oleh masyarakat umum. Sukarno, Mantan Presiden Indonesia pernah berkata ketika dahulu “Sekiranya aku diberikan sepuluh orang pemuda yang hebat intelektualnya maka akan aku gunakan pemuda tesebut untuk mengoncangkan dunia” Melalui penelitian saya berkaitan slogan ini, amat cukup jelas bahawa pemuda merupakan pencorak kepada kepimpinan masa akan datang tetapi dengan syarat, pemuda tersebut bukan sahaja perlu gagah berani, malah mesti hebat daya intelektualnya. Menurut Profesor Yusuf Al-Qardhawi, Presiden Ulama’ Antarabangsa ada menyebutkan “Sekiranya ingin melihat tamadun sesebuah Negara maka lihatlah anak mudanya, sekiranya baik akhlaknya maka baiklah tamadun itu, tetapi jikalau rosak anak muda itu maka rosaklah tamadun itu akan datang”.
Melihatkan corak politik kampus kita hari ini, mahasiswa perlu digerakkan minda dan intelektualnya bagi memberikan segala pandangan terhadap perubahan yang bakal dibuat dan dirintis. Namun di sana, kita perlu mengetahui bahawa tarbiyyah ruhiyyah (didikan dalaman) amat perlu kepada seluruh mahasiswa bagi memastikan perlaksanaan amalan gerak kerja Islami seiring dengan amalan individu. Di antara kekuatan dalaman yang perlu dibina melalui tarbiyyah ruhiyyah ialah :
Pastikan solat berjemaah dijaga setiap hari, terutamnya solat Isyak dan Subuh.
Hadis nabi s.a.w. yang bermaksud ;
“Dirikanlah sembahyang Subuh kerana ia lebih besar pahala untukmu”
“Sesiapa yang mendengar azan sembahyang, kemudian ia tidak mendatangi, maka tidak ada sembahyang baginya, kecuali uzur”
“Sesiapa yang suka untuk berjumpa dengan Allah pada hari esok(kiamat) dalam keadaan Islam, maka hendaklah menjaga sembahyang-senbahyangnya di mana ia diseur untuk mengerjaknnya”
Membiasakan diri untuk bangun malam (Qiamulail)
Hadis nabi s.a.w.bermaksud ;
“Hendaklah kamu berqiamulilkerana sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, mendekatkan kamu kepada Tuhanmu, menghapuskan keburukan, mencegah dari perbuatan dosa dan menghalau penyakit dari tubuh badan”
Sentiasa membaca al-Quran dan zikir kepada Allah.
Sentiasa komited dengan majlis ilmu agama.
Menajamkan pemikiran dengan membanyakkan membaca bahan ilmiah dan buku-buku yang berkonsepkan jihad, tasawuf, ibadah dan sebagainya.
Menjauhi segala bentuk bida’ah yang dholalah atau bida’ah tarkiyyah (amalan yang tiada nas dan dalil).
Mengkaji sirah perjuangan Rsulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.
Jadikan Ramadhan sebagai madrasah tarbiyyatun nafs(mendidik nafsu).
Pastikan cara hidup Islam berfungsi di dalam kehidupan kita seperti di kelas, kampus, kolej dan di tempat umum.
Jauhi dosa-dosa kecil yang berterusan dan jangan sekali-kali ingin membuat dosa besar.
Maka ini di antara amalan yang cukup penting di dalam membentuk peribadi dalaman seseorang muslim. Jadikan amalan di atas ini amalan wajib untuk diri-sendiri!
Perkara di atas amat berhubungkait dengan kemenjadiaan seseorang individu yang ingin menjadi perintis kebangkitan di kampus hari ini. Namun sekiranya amalan di atas tidak dijadikan amalan rutin harian wajib maka dikhuatiri mahasiswa kini akan mudah menjerumuskan dirinya ke lembah maksiat dan lemah daya fikirnya, lebih-lebih lagilah dalam hendak memikirkan masalah Ummah. Kebangkitan mahasiswa atau lebih dikenali sebagai aura mahasiswa perintis perubahan waqi (suasana Islami). Mahasiswa kini sepatutnya bangkit daripada lena yang cukup panjang, sudah cukuplah lena yang cukup panjang ini telah menyebabkan kebajikan mahasiswa dari segi Aqidah, Akhlak dan Ibadah menjadi runtuh dan rosak akibat tiada yang ingin bangkit untuk mengambil tahu nasib mahasiswa kita. Maka saya menyeru kepada semua mahasiswa agar bangkit pada hari ini untuk memperjuangkan nasib bangsa dan agama kita melalui saluran demokrasi kampus yang dibenarkan. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai satu medan muhassabah “BERAPA BANYAKKAH SUMBANGAN AKU UNTUK ISLAM SELAMA INI”. Amatlah rugi kalau ramadhan tahun ini sebagai bulan adat berpuasa sahaja yang bila sampai bulan puasa hanya menahan dahaga dan lapar semata-mata. Tetapi tidak mengetahui hikmah mengapa Allah mewajibkan puasa. Ramadhan juga merupakan bulan kebangkitan umat Islam ketika mana tentera muslimin bangkit berperang dengan puak kafir Quraish (Perang Badar Al-Kubra). Oleh itu, tidak mustahil ramadhan kali ini kita menjadikan sebagai bulan kebangkitan roh Islam di semua kampus dengan menyuburkan suasana kampus dengan suasana Islam.
Mahasiswa perlu menjadikan medan kampus sebagai satu latihan (work) bagi mengasah bakat dan daya fikir, bukannya hanya senyap membisu dengan tidak tahu apa-apa berkaitan isu semasa kampus terutamanya berkaitan masalah Akhlak mahasiswa hari ini. Study adalah penting tetapi alangkah baiknya jadikan berpolitik kampus sebagai perangsang kepada kemajuan akademik.
Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai medan muhassabah segala amalan kita dan sekiranya sebelum ini kita kurang terlibat dalam program-program Islam maka selayaknya kita cuba memaksa diri untuk menghadirkan diri dalam segala bentuk program Islami yang dianjurkan oleh PERSATUAN MAHASISWA ISLAM (PMI).
Bantulah perjuangan ini wahai mahasiswa sekalian, jangan kita alpha kerana segala gerak-geri harian kita akan diperhitungkan oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud ;
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu dijadikan hanyalah mainan, dan tidak akan dikembalikan oleh Allah untuk dihitung dan dihisab”
(Surah Al-Mukminn ayat 115-118)
Maka memberikan komitmen dalam gerak kerja Islam adalah WAJIB! Amatlah besar pahalanya sekiranya kita mampu bersama-sama membuat perubahan suasana kampus agar lebih Islami dan segala sistemnya tunduk kepada sistem Allah s.w.t. Basahilah dirimu di bulan ramadhan ini dengan peluh-peluh gerak kerja Islam yang dilakukan kerana di syurga sana telah menanti hamba-hambaNya untuk syahid di jalan Allah s.w.t.
Kesimpulannya, saya tidak sabar lagi melihat roh dan cahaya Islam bersinar kembali di semua kampus dan saya amat optimis semua mahasiswa juga telah lama menunggunya, mudah-mudahan sinar Islam yang bersinar ini dapat menyinari sanubari dan melenyapkan system jahiliah yang telah ditanam oleh para penjajah laknatullah. MAHASISWA PERINTIS KEBANGKITAN.
Ditulis oleh,
Abu Islam
Mohd Airil Syah Al-Qardhawi.
Saturday, October 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment