“Ust, bnrkah Mesia Negara Islam?” itulah kandungan satu sms dari salah seorang pelajar IPT dalam Negara telah melayang masuk kedalam box telefon bimbitku. Aku menjawab, “nabi buat Negara Islam Madinah, adakah Malaysia sama dengan Negara islam Madinah? Knp anta tanya mcm tu???”Dia menjawab, “ada org kata, Negara Islam Mesia ni perkara khilafiah, apa komen Ust?”. Aku tanya balik, “knp dorang ckp mcm tu?” dia menjawab, “sbb definisi Negara Islam pelbagai”.Dengan SMS tu, aku mula faham maksud disebalik soalan individu pelajar IPT tersebut.
Fikiranku melayang berfikir tentang kandungan SMS itu, gambarannya, ianya seakan-akan sama seperti yang pernah aku baca satu tulisan berkenaan dengan seorang penulis telah bertanya kepada Dr Yusuf Al-Qaradhawi tentang hukum menghisap rokok yang Dia nyatakan, hisap rokok adalah perkara khilafiyyah. Lalu dijawab oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, punca pendalilan keharaman rokok adalah sepakat, tetapi yang khilafnya adalah penentuan kepada perkara yang di berikan hukum.Aku amat pelik, bagaimana golongan-golongan ilmuan-ilmuan agama beraliran tertentu boleh menyatakan sesuatu perkara itu khilafiyyah sedangkan keputusannya itu hanya dirujuk melalui pendefinisian ulama. Jika ianya dari ulama-ulama UMNO, padaku itu perkara biasa, kerana ulasan mereka itu bersifat kepentingan perjuangan secular mereka.Perkara khilafiyyah bukanlah merujuk kepada pendefinisian, tetapi ianya mesti merujuk kepada ulasan-ulasan ulama dari kandungan nas-nas yang telah di akui oleh Islam. Disamping itu, perlu juga penyesuaian kandungan nas kepada perkara yang tidak mempunyai nas dalam menghasilkan hukum.
Kaedah fiqh menyatakan;الحكم على شيء فرع عن تصورهMaksudnya;“Hukum atas sesuatu, satu furu’ daripada gambarannnya”Ianya bermaksud, sesuatu nas yang hendak disesuaikan dengan sesuatu perkara, perlu diteliti kesamaan terlebih dahulu antara nas-nas dan perkara yang hendak diberikan hukum.Dalam isu Negara Islam di Malaysia, kebanyakan ulama-ulama yang “bermazhab UMNO”, disamping golongan yang beraliran “kiri”, mereka menyatakan bahawa Malaysia sebagai Negara Islam. Alasan yang mereka kemukakan adalah merujuk kepada pendefinisian Negara Islam yang telah didefinisikan oleh sebilangan ulama-ulama besar, seperti Imam Abu Zahrah, Imam Hanafi dan sebagainya.Ulama-ulama besar, kebiasaannya mereka mendefinisikan sesuatu perkara itu berdasarkan pandangan umum dan berdasarkan sesuatu dengan zaman dan tempat yang mereka hidup diketika itu, disamping Nas-nas yang menjadi hujjah yang merupakan asas pendefinisan yang mereka lakukan.Maka dengan sebab itulah, ada ulama melakukan pendefinisian sesuatu perkara, tetapi setelah dilihat secara mendalam, didapati definisi mereka itu lebih bersifat “Juzii” yang perlu kepada penambahan bagi mencukupkan kandungan juzii itu sehingga menjadi “kulli”.Perkara ini tidak dapat difahami bagi mereka yang tidak mempunyai asas dalam pengajian ilmu Mantiq. Ini kerana, Ilmu Mantiq adalah satu-satunya ilmu yang membicarakan cara-cara penilaian sesuatu definisi itu tepat atau tidak tepat (tidak tepat bukan bermakna salah) dan juga mengajar “turuq takwin at-tarif” atau cara-cara membina definisi.Padaku, cara menyatakan keislaman sesebuah Negara, tidak sepatutnya dirujuk kepada pendefinisian semata-mata, tetapi mesti merujuk kepada punca pendefinisian itu dilakukan. Maka dengan sebab itulah, jika dilalui pengajian Fiqh Muqaranah, disana akan dibincangkan berkenaan dengan “syarh at-ta’rif”, yang akhirnya menatijahkan perbincangan “antara definisi yang tepat dan definisi yang tidak tepat”.Ketidak tepatnya definisi itu adalah kerana ianya kadangkala bersebab definisi itu tidak jami’ dan mani’, yang asasnya adalah berpunca definisi itu bersifat “juzii, sedangkan sesuatu definisi itu perlu bersifat “kulli”.Maka keadaan yang sama juga berlaku dalam hal penentuan Malaysia sebagai Negara Islam, yang sedang hebat di ulas dan di syarah oleh sebilangan ilmuan-ilmuan dari aliran UMNO dan aliran kiri.DEFINISI ULAMA TENTANG NEGARA ISLAM YANG DIPERKELIRUKAN
Pelbagai definisi yang telah dikemukakan oleh ulama-ulama (samada berkepentingan atau tidak) dalam memastikan Malaysia sebagai Negara Islam atau tidak.Sebilangan mereka merujuk kepada definisi Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa;“maksud sandaran “Dar” kepada Islam atau kafir itu sendiri bukanlah berdasarkan kepada Islam dan kafir itu sendiri, sebaliknya berdasarkan kepada keamanan dan ketakutan”[1].
Mereka juga menyandarkan kepada definisi Abu Zuhrah yang hakikatnya, ianya merujuk sendiri kepada definisi Imam Abu Hanifah, iaitu katanya;“Negara islam ialah Negara yang berada dibawah kuasa pemerintahan orang islam. kekuatan dan pertahanannya di kuasai oleh orang Islam”[2].
Di renung kepada kedua-dua definisi ini, didapati, ianya mengandungi maksud yang bersifat “Juzi’I”. kandungan definisi ini perlu di lakukan sedikit penambahan agar ianya bersifat kulli yang melahirkan natijah definisi yang bersifat “Jami’ dan Mani’”.Jika diteliti balik kitab-kitab karangan Abu Hanifah, kita akan dapat melihat, walaupun Abu Hanifah mengemukakan definisi ini, tetapi dia sendiri menyatakan tidak memadai menyatakan Negara Islam itu sekadar pimpinan Negara itu orang Islam. bahkan, dikira sebagai syarat untuk penentuan sesebuah Negara itu Negara Islam, adalah Negara yang mengamalkan undang-undang Islam.Ini dibuktikan dengan kenyataan Imam Abu Hanifah yang menyatakan;“tidak akan menjadi sesebuah Negara itu sebagai Negara kafir, melainkan melalui tiga perkara : (a) tertegak undang-undang kafir (b) Negara tersebut terpengaruh dengan Negara kafir (c) tiada padanya orang islam dan kafir zimmi tidak mendapat perlindungan keselamatan daripada orang-orang islam”Imam Abu Yusuf yang merupakan salah seorang ulama besar bermazhab Hanafi ada menyatakan juga;“Negara Islam boleh menjadi Negara kufr dengan tertegaknya undang-undang kafir padanya[3]”
Dari pemahaman inilah, difahami, Imam Abu Hanifah sendiri berpendirian, kewujudan perlaksanaan undang-undang islam merupakan antara cirri-ciri Negara Islam. Dengan ketiadaan undang-undang Islam yang terlaksana, maka Negara itu telah mengamalkan undang-undang bukan Islam (kafir), maka penjenamaan sesebuah negara sebagai negara Islam ketika itu adalah terbatal.Semua ulasan ini hakikatnya disandarkan kepada beberapa firman Allah, iaitu;Pertama : surah Al-Haj : 40-41;وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ * الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِالْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِMaksudnya;“Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; *. Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan”Dalam firman Allah ini, dijelaskan beberapa cirri Negara Islam, iaitu adalah seperti berikut;a. mendirikan solat;b. menunaikan zakat;c. menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.Kedua : Surah An-Nur : 55;وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَMaksudnya;“Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka”
Dalam ayat ini pula, Allah menyatakan ada tiga lagi sifat Negara islam, iaitu seperti berikut;a. orang-orang mukmin berkuasa di muka bumi;b. agama yang diredhai teguh dan dapat dilaksanakan;c. wujud keamanan untuk umat Islam.Dari ulasan ini, tidak selayaknya sebilangan manusia mendakwa bahawa, isu menjenamakan Malaysia sebagai Negara Islam adalah perkara khilafiyyah dengan merujuk kepada definisi Imam Abu Hanifah, tetapi perlu kepada perincian perbahasan dalam memastikan definisi itu bersifat kulli yang menatijahkan definisi yang jami’ dan Mani’.PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ADALAH ISLAM?Apa yang mengelirukan disebilangan pihak, dari definisi yang diperkelirukan itu menyebabkan ramai tokoh undang-undang, disamping beberapa tokoh ilmuan mendakwa Malaysia sebagai Negara Islam.Semasa isu Abdullah Moorty, aku secara peribadi ada menghadiri satu sidang meja bulat. Disana seorang professor dari Universiti Islam Antarabangsa menyatakan bahawa Malaysia ini adalah Negara Islam berdasarkan kepada tafsiran terhadap beberapa article dalam perlembagaan Persekutuan.Berdasarkan kepada tafsiran tertentu, maka Professor berkenaan telah menyatakan perlembagaan persekutuan sudah islam dan tidak sekular, yang memungkinkan untuk diisytihar, Malaysia sebagai Negara Islam disamping merujuk kepada definisi Negara Islam dari Imam Abu Hanifah.Aku agak kurang bersetuju dengan pandangan itu, menyebabkan aku mula membeli dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan perlembagaan Malaysia.Dari pembacaanku, aku dapati ada beberapa perkara yang perlu di nilai disebalik dakwaan itu.Antaranya adalah seperti berikut;PERLEMBAGAAN MALAYSIA BUKAN SEKULAR?Dalam tulisan ini, Aku tidak berminat mengulas kelahiran perlembagaan persekutuan dari sudut sejarah. Ulasan tersebut telah aku lakukan dalam tulisan-tulisan yang lalu.(sila rujuk tulisan[4])
Tetapi dalam tulisan ini, aku ingin pihak kita menilai balik beberapa hujjah yang dikemukakan bagi menentukan perlembagaan ini secular atau tidak.HUJJAH MEREKADalam hujjah yang mengatakan perlembagaan ini adalah perlembagaan yang bukan secular adalah seperti berikut;Mereka merujuk kepada article 3 (1) yang menyatakan;“islam adalah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan[5]”
Dan article 121 (1A) yang menyatakan;“mahkamah-mahkamah yang disebut dalam fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah[6]”
Dari kedua-dua article ini, mereka mendakwa, perlembagaan menyediakan ruang untuk undang-undang islam terlaksana di Negara. Disamping itu pula, dalam article 4 (1) menyatakan;“perlembagaan ini ialah undang-undang utama persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas hari Merdeka yang tidak selaras dengan perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu[7]”
Dakwaan mereka, jika mahkamah syariah diberi kuasa dari article 121 (1A), maka dengan ini, berdasarkan tafsiran Islam sebagai agama persekutuan Negara sudah cukup untuk dinyatakan bahawa Negara ini bukan negara secular.PENILAIAN BALIKDakwaan sebegini, jika dilihat lebih mendalam disamping kajian sejarah, didapati mempunyai ada beberapa keraguan.Ini adalah kerana, article 3 (1) yang menyatakan agama Islam adalah agama persekutuan, didapati tafsiran agama dalam perlembagaan tidak boleh di tafsirkan berdasarkan kepada pemahaman Islam, tetapi perlu difahamkan melalui akta tafsiran yang telah di tetapkan.Dalam seksyen 117 akta tafsiran menyatakan;“Dalam kes mana-mana konflik atau perbezaan di antara teks bahasa Inggeris undang-undang bertulis dan apa-apa tafsiran, maka teks bahasa Inggeris hendaklah terpakai[8]”
Maka dengan demikian, agama dalam bahasa inggeris adalah “religion” yang maknanya adalah “sistem kepercayaan dan sembah tertentu yang berdasarkan kepercayaan[9]”
Pemahaman religion bukan seperti pemahaman Islam sebagai ad-din, tetapi dia lebih bersifat pemahaman seperti pemahaman agama kristian, iaitu ianya lebih kepada kepercayaan dan peribadatan yang tiada terkait dengan undang-undang dan sebagainya. perkara ini di akui sendiri oleh Profesor Ahmad Ibrahim dalam satu tulisan beliau yang bertajuk “sekatan-sekatan dalam pelaksaan Undang-undang Islam di Malaysia[10]”
Maka dengan itu, maksud Islam sebagai agama persekutuan yang tersebut dalam perlembagaan, bukanlah bermakna Islam adalah agama yang terdaulat dalam Negara, tetapi ianya mengandungi maksud, Islam sebagai agama yang teristimewa berbanding agama-agama lain di Malaysia.Antara keistimewaannya adalah, apa jua kegiatan agama Islam maka kerajaan boleh membiayainya dengan menggunakan “kumpulan Wang Awam” seperti mendirikan masjid, gaji Imam, mendirikan sekolah agama, yayasan islam dan sebagainya[11].
PENUTUP
Dalam menulis isu ini, aku amat teringat dengan pesanan guru-guruku semasa belajar di Pakistan dahulu. semasa mengajar ilmu mantiq, mereka sering berpesan kepada kami dengan pesanan Imam Al-Ghazali yang berkata;لا ثقة لمن لم يعرف علم المنطقMaksudnya;“tiada kepercayaan (siqah) terhadap mereka yang tidak mengetahui ilmu mantiq”Pada awalnya, Aku tidak memahami disebalik ungkapan Imam Ghazali itu, tetapi setelah diberitahu tentang keislaman Negara Islam berdasarkan definisi Imam Abu Hanifah, aku merasakan agak memahami maksud sebenar disebalik ungkapan tersebut.Walaubagaimanapun, dengan ulasan yang serba ringkas ini dapat memberi satu gambaran kepada kita semua, betapa ketidaktepatnya dakwaan dari sebilangan mereka yang mendakwa Malaysia ini sebagai Negara Islam sebagai perkara khilafiyyah dengan disandarkan kepada definisi Imam Abu Hanifah.Mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah SWT
Sekian
Wallahu ‘Alam
Wednesday, November 14, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment